27 January 2008

Suharto Meninggal Dunia

27/01/2008 4:07pm

JAKARTA, 27 Jan — Bekas Presiden Indonesia, Suharto meninggal dunia pada pukul 1.10 petang ini waktu tempatan (2.10 waktu Malaysia) setelah berada dalam keadaan kritikal sejak awal pagi ini.

Pengumuman itu dibuat oleh bekas Menteri Setiausaha Negara Indonesia, Moerdiono melalui siaran sebuah radio tempatan ke seluruh negara itu sejurus selepas pasukan Doktor Presiden yang merawat Suharto mengesahkan kematian bekas presiden itu.
Suharto, 86, memerintah Indonesia selama 32 tahun dari 1966 hingga 1998 berada dalam keadaan kritikal sejak dimasukkan ke Hospital Pusat Pertamina, Jakarta Selatan pada 4 Jan lepas.

Terdahulu hari ini, doktor mengisytiharkan Suharto dalam keadaan kecemasan dan paling kritikal sejak berada di hospital itu apabila sejak pukul 1 pagi ini bekas pemimpin itu terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bantuan alat pernafasan setelah pelbagai organ badannya gagal berfungsi.

Moerdiono yang juga jurucakap keluarga Suharto berkata, anak-anak bekas presiden itu berada di sisi bapa mereka ketika itu.

Semasa dirawat di hospital itu, Suharto yang dimasukkan ke hospital itu pada awalnya kerana masalah pencernaan dan paru-paru berair, beberapa kali dilaporkan berada dalam keadaan koma dan menjalani rawatan pemindahan darah.
Suharto atau lebih dikenali dengan gelaran “Pak Harto” adalah bekas Presiden kedua Indonesia yang juga dikenali sebagai “Bapa Pembangunan Indonesia” hasil perkembangan pesat negara itu semasa era pemerintahannya.

Suharto yang turut dihormati di kalangan negara jiran rantau ini adalah antara pemimpin yang banyak menyumbang dalam pertubuhan serantau Asean.

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut melawat Suharto di hospital itu pada 14 Januari lepas berkata, bekas presiden itu juga berperanan utama dalam memulihkan hubungan antara Malaysia-Indonesia (selepas konfrontasi terhadap Malaysia yang dilancarkan oleh presiden pertama Indonesia, Sukarno).

“Suharto memudahkan perhubungan antara Malaysia dengan Indonesia yang selepas itu semakin meningkat dan hubungan jadi begitu rapat sehingga kita boleh anggap ini serumpun, yang sememangnya dari asal dekat,” kata Dr Mahathir kepada media Indonesia sejurus selepas meluangkan masa kira-kira 25 minit melawat Suharto di hospital itu.

Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah adalah antara kenamaan Malaysia yang melawat Suharto di hospital itu.- Bernama

No comments: