27 January 2008

Google Minat Melabur di Malaysia

Daripada: OTHMAN MOHAMAD

DAVOS 26 Jan. – Google Inc, syarikat gergasi enjin carian Internet, telah memulakan perbincangan dengan Multimedia Development Corporation (MDEC) dalam usaha untuk mewujudkan pangkalannya di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Google berminat untuk melabur di Malaysia memandangkan terdapat prasarana cukup dan kedudukan geografi yang strategik.

‘‘Malah, rancangan-rancangan masa depan teknologi komunikasi maklumat (ICT) kita boleh membantu pembangunan Google mewujudkan pangkalan mereka di Malaysia,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di sini.

Terdahulu, Abdullah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Google, Eric Schmidt di luar mesyuarat tahunan WEF.

Selain itu, kata Abdullah, Google menyatakan puas hati dengan kadar peningkatan pengguna Google di Malaysia yang merupakan yang tertinggi berbanding di negara-negara rantau Asia Tenggara.

Abdullah berkata, Google juga berharap kemudahan-kemudahan yang disediakan kelak juga akan dapat dimanfaatkan oleh negara.

Google Inc merupakan sebuah syarikat awam dan enjin gelintar (carian) Amerika Syarikat, yang pada awalnya ditubuhkan sebagai syarikat sendirian berhad pada 7 September 1998.

Setakat 30 September 2006, syarikat yang bertapak di Mountain View, California ini mempunyai 9,378 orang pekerja sepenuh masa.

Penyenaraian awam Google dibuat pada 24 Oktober 2004 dan syarikat itu kemudiannya mencapai nilai hampir RM76 bilion.

Melalui beberapa pembangunan produk baru, pengambilalihan dan perkongsian, Google berkembang daripada syarikat enjin pencarian serta pengiklanan kepada bidang-bidang lain termasuk e-mel, laman web, pemetaan dalam talian dan produktiviti pejabat.

Di Asia, Google mempunyai pejabat di China, Hong Kong, India, Jepun, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan.

Kemudahan carian dan cara mudah menggunakannya menjadikan Google antara jenama yang paling terkemuka dan sebagai satu perniagaan, Google menjana pendapatan dengan menyediakan pengiklanan melalui Internet yang menjimatkan kos bagi para pengiklan.

Mengenai WEF 2008, Abdullah berpendapat forum itu telah membuktikan ia bersedia menjadikan topik-topik perbincangan berasaskan daripada perkembangan yang berlaku di dunia.

Sebelum ini, katanya, isu hangat iaitu kemelesetan ekonomi yang pernah melanda Amerika tidak dijadikan sebagai tajuk perbincangan, tetapi kini sudah pun menjadi perkara yang ditimbulkan di kalangan peserta.

‘‘Jadi ia menjadi forum yang cukup responsif kepada apa juga perkembangan yang berkaitan ekonomi mahupun politik. Selain itu bilangan yang datang begitu ramai dan ia memberi kesempatan kepada banyak pihak untuk berbincang secara dua hala - sesama pemimpin kerajaan tetapi juga dengan ketua-ketua syarikat besar di dunia,” katanya.

Sementara itu, Abdullah serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis yang juga berada di sini, telah mengambil kesempatan sempena mesyuarat tahunan WEF bagi mempromosikan Kongres Dunia mengenai Teknologi Maklumat (WCIT) selama lima hari mulai 18 Mei ini di Kuala Lumpur.

‘‘Sambutannya baik. Datuk Seri Jamaludin dan para pegawai MDEC mengambil peluang bertemu banyak pihak semasa di sini,” jelasnya.

– Mingguan

No comments: