28 January 2008

Jualan batik naik mendadak

KUALA TERENGGANU 27 Jan. - Jualan batik tempatan yang sebelum ini merosot kini dilaporkan naik secara mendadak selepas kerajaan menguatkuasakan pemakaian baju batik di kalangan pegawai dan kakitangan sektor awam.

Pengurus Besar Pemasaran Karyaneka Sdn. Bhd., (Karyaneka), Zuraidah Abdul Razak berkata, pihaknya mendapati batik menjadi produk kraf terlaris di negara ini berbanding produk perak, pewter, songket dan anyaman di pasaran tempatan sejak akhir-akhir ini.

Beliau memberitahu, jualan batik yang dikendalikan oleh Karyaneka mencecah 39 peratus tahun lepas dengan diikuti Perak (20 peratus), pewter (20 peratus), songket 20 peratus dan selebihnya pelbagai produk kraf lain.

Katanya, walaupun angka sebenar jualan batik di pasaran tempatan masih belum diperoleh tetapi hasil pengamatan dan laporan yang diterima pelbagai pihak termasuk pengusaha batik dan peniaga, ia ternyata menunjukkan peningkatan membanggakan.

'' Ini membuktikan usaha kerajaan mewajibkan kakitangan kerajaan memakai baju batik tempatan amat disanjung tinggi kerana sekali gus ia meningkatkan industri batik negara.

Usaha'' Industri batik tempatan juga dilaporkan kembali bernafas dengan usaha kerajaan itu dan seharusnya disambut dengan pengusaha batik tempatan," katanya kepada Utusan Malaysia semasa melawat Kraftangan Terengganu, di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Kraftangan Terengganu, Kamarulzaman Mera Hussin.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Zuraidah berkata, Karyaneka anak syarikat Kraftangan Malaysia berjaya mencatatkan pendapatan jualan pelbagai produk kraf termasuk songket dan batik sebanyak RM14 juta dalam urusniaganya sepanjang tahun lepas.

Beliau berkata, pencapaian tersebut amat membanggakan kerana angka jualan produk tempatan meningkat secara mendadak berbanding RM11 juta pada tahun sebelumnya.

Katanya, produk yang terlaris adalah batik ( 37 peratus), barangan perak (20 peratus), pewter (20 peratus), songket (18 peratus) dan selebihnya anyaman dan ukiran kayu.

''Berdasarkan perkembangan sekarang kami menyasarkan hasil jualan Karyaneka bakal mencecah sebanyak RM18 juta tahun depan," katanya.

Mengulas lanjut Zuraidah berkata, mulai tahun ini Karyaneka memperhebatkan promosi jualan, sama ada pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa dalam usahanya memastikan produk tempatan mendapat sambutan pelanggan.

Katanya, mulai tahun ini juga Karyaneka akan mengadakan lawatan ke Dubai bagi mempromosi batik dan songket kerana di fahamkan kedua-dua produk kraf tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk negara tersebut.

''Mulai Februari ini, Karyaneka juga akan mengadakan promosi ke Birmingham, Sepanyol dan Hong Kong dalam rangka memperhebatkan promosi bagi memastikan produk kraf tempatan menembusi pasaran dunia," tambah beliau.

No comments: