30 November 2008

Alice's House ungguli KLIFF '08

Oleh YUSMAN AWANG
yusman.awang@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Filem Alice's House diumumkan pemenang anugerah tertinggi, Filem Terbaik Keseluruhan pada Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF 2008) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam tadi.

Filem Terbaik Amerika Selatan arahan Chico Teixiera itu menewaskan empat calon lain iaitu filem Captain Abu Raeb, Divizionz, Fugutive Pieces dan Darling, yang sebelum itu masing-masing mengungguli kategori Filem Terbaik Asia, Filem Terbaik Afrika, Filem Terbaik Amerika Utara dan Filem Terbaik Eropah.

Dengan kemenangan itu Alice's House menerima wang tunai RM20,000, trofi dan sijil yang disampaikan oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Afdal.

KLIFF 2008 menyaksikan 22 filem yang disenarai pendekkan daripada keseluruhan 191 buah filem dari benua Asia, Amerika Utara, Amerika Selatan, Afrika dan Eropah bertanding dalam lebih 20 kategori yang dipertandingkan.

Selain anugerah tertinggi tersebut, festival yang berlangsung penuh gilang-gemilang dan dihoskan oleh pelakon dan pengacara terkenal, Sarimah Ibraham itu turut mempertandingkan kategori Pengarah Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Sinematografi Terbaik, Sistem Bunyi Terbaik, Skor Muzik Terbaik dan Anugerah Khas Juri.

Wakil tunggal Malaysia, Wayang arahan Dr. Hatta Azad Khan yang juga antara lima filem dalam kategori Filem Terbaik Asia bagaimanapun gagal menang melainkan Anugerah Khas Juri.

Sementara trofi Pengarah Terbaik menjadi milik Yer! That's Us daripada filem Divizionz.

No comments: