15 May 2008

Jimat masa

Jimat masa
Oleh Kamarulzaman Pid

amar@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Kakitangan kerajaan digesa menggunakan kemudahan pantri yang disediakan di pejabat masing-masing untuk minum bagi mengelakkan mereka menghabiskan masa di kantin atau kafeteria.

Saranan itu dibuat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, bagi memastikan kakitangan awam dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan mereka.

Berikutan itu, katanya, ketua jabatan dan agensi kerajaan diminta mengatur jadual kerja kakitangan masing-masing berikutan tiada peraturan dalam Jabatan Perkhidmatan Awam yang memperuntukkan waktu minum pagi dan petang.

“Saya minta ketua jabatan supaya mengatur minum pagi dan petang dengan lebih berkesan kerana setiap pejabat ada pantri masing-masing supaya tidak mengganggu tugas selain dapat mengekalkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 2008 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini Sabtu lalu, yang meminta 1.2 juta kakitangan awam terus meningkatkan kecekapan dan bertindak pantas dalam membuat keputusan supaya perkhidmatan awam dihormati rakyat tempatan dan masyarakat antarabangsa.

Presiden Cuepacs, Omar Osman juga mengesyorkan supaya kakitangan awam mengambil masa kurang setengah jam untuk sarapan pagi atau minum petang supaya dapat memberi fokus untuk memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan.

No comments: