07 April 2008

ICU pastikan pelaksanaan projek di negeri dikuasai pembangkang

ICU pastikan pelaksanaan projek di negeri dikuasai pembangkang
06/04/2008 7:01pm


JITRA 6 April — Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri akan memastikan projek kerajaan pusat yang dilaksanakan di negeri-negeri yang diperintah pembangkang berjalan lancar.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Johari Baharum berkata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah memberi mandat kepada beliau untuk memantau dan memastikan projek yang akan dilaksanakan oleh kerajaan pusat di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan tersusun dan diberi lebih perhatian.

Mohd Johari berkata mekanisma yang sesuai akan digunapakai dalam melaksanakan projek di lima negeri berkenaan, berdasarkan pengalaman kerajaan melaksanakan projek di Terengganu dan Sabah semasa kedua-dua negeri itu diperintah oleh pembangkang sebelum ini.

“Kerajaan akan ambil yang terbaik supaya pelaksanaannya tidak membazir dan memanfaatkan rakyat sepenuhnya,” katanya kepada pemberita semasa ditemui pada majlis kenduri kesyukuran kemenangan beliau dan Anggota Dewan Undangan negeri Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Jaapar pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, di kediaman beliau di sini, hari ini.

Mohd Johari berkata contoh pelaksanaan projek terbaik dan berkesan adalah di Terengganu namun beberapa penambahbaikan kepada susuncara atau pelaksanaan projek perlu dibuat.

Beliau turut menjelaskan banyak elaun termasuk elaun guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) yang dinaikkan RM50 mulai 1 April lepas yang diumumkan kerajaan Pulau Pinang baru-baru ini adalah peruntukan kerajaan persekutuan.

“Kenaikan itu bermakna guru KAFA Pulau Pinang menerima RM500. Jadi kerajaan perlu sediakan satu mekanisma supaya rakyat dapat membuat perbandingan antara peruntukan kewangan kerajaan negeri dan pusat.

“Begitu juga di Kedah, peruntukkan kewangan agensi seperti Lembaga Pertanian Muda (MADA) dan Pembangunan Wilayah Kedah (KEDA) dan beberapa agensi lain adalah daripada kerajaan pusat yang disalurkan kepada kerajaan negeri,” kata Mohd Johari.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang hadir di majlis itu berkata pelantikan semula 1,938 pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) sebagai JKKK persekutuan adalah untuk memenuhi tanggungjawab terhadap rakyat.

Katanya mereka akan menjalankan kerja seperti biasa dan dibayar elaun sebanyak RM450 sebulan.

“Jangan salah faham sebab kita letakkan JKKK di bawah kerajaan pusat, kita tidak lari daripada menunaikan tanggungjawab kerana JKKK persekutuan juga boleh melakukan kerja kampung macam biasa,” kata Mahdzir.

— BERNAMA

No comments: