25 March 2008

Komputer kena lupus

Oleh AZIMI MUSTAPHA
azimi.mustapha@kosmo.com.my

JOHOR BAHRU - Benarkah komputer yang dibekalkan ke semua sekolah atas jenama Mimos hanya boleh bertahan untuk jaminan dua tahun dan tidak boleh dibaiki selepas itu?

Itulah persoalannya apabila hampir separuh daripada komputer yang dibekalkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Uda di sini rosak tetapi tidak ada pihak yang boleh membaikinya.

Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, Mohd. Razif Husin berkata, sekolah itu menerima sebanyak 20 unit komputer daripada Mimos lebih kurang dua tahun lepas.

Katanya, pada mulanya, semuanya berjalan baik, tetapi selepas tempoh jaminan dua tahun tamat, sembilan daripada komputer tersebut rosak.

Tegasnya, pihaknya memanggil pihak pembekal untuk membaiki komputer yang rosak, malangnya mereka memberitahu, 'anggaplah ia sebagai lupus kira'.

"Apa yang saya faham, lupus kira bermakna komputer itu boleh dijual sebagai barangan lusuh.

"Alasan yang diberi ialah alat ganti komputer berkenaan tiada dalam pasaran dan terpaksa diimport dari China," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Mohd. Razif yang juga Pengerusi Kelas Komputer Dalam Pendidikan (KKDP) sekolah tersebut, PIBG sekolah tersebut bernasib baik kerana mempunyai 41 unit komputer sendiri dan tiada masalah sehingga kini sejak dibeli pada tahun 2002.

Katanya lagi, apa yang menghairankan ialah bagaimana sebuah syarikat yang diberi tender membekalkan komputer di sekolah-sekolah seluruh negara boleh 'lepas tangan' seperti itu?

"Saya tak pasti jika masalah serupa turut berlaku di sekolah lain yang menerima komputer ini tetapi yang jelas, perkara ini tidak sepatutnya timbul," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Mimos Smart Computing Sdn. Bhd. (MSCSB), Hasnul Omar ketika dihubungi menjelaskan, dakwaan tersebut perlu disiasat sebelum boleh diberi penjelasan.

Katanya, MSCSB yang merupakan anak syarikat Mimos telah mendapat tender kerajaan membekalkan kira-kira 1,500 komputer kepada sekolah-sekolah di seluruh negara sejak empat tahun lalu.

Sehingga hari ini jelasnya, belum ada lagi sebarang masalah yang dibangkitkan oleh mana-mana sekolah terhadap semua komputer yang dibekalkan.

"Kami perlu siasat sama ada sekolah tersebut menerima komputer daripada pihak MSCSB atau tidak dan saya juga perlu tahu sama ada maklumat yang diberikan itu daripada kakitangan MSCSB sendiri atau sebaliknya.

"Ada kemungkinan juga ejen-ejen kami di Johor Bahru yang telah memberi maklumat salah kepada pihak sekolah," katanya ketika dihubungi semalam.

Ujar Hasnul lagi, selepas menjual komputer tersebut kepada sekolah, MSCSB memberi jaminan selama dua tahun dan penyelenggaraan secara percuma kepada sekolah yang terlibat dalam tempoh tersebut.

"MSCSB tidak akan bertanggungjawab untuk melakukan penyelenggaraan dan diambil alih oleh pihak lain selepas tamat tempoh jaminan.

"Kemungkinan penyelengaraan dilakukan oleh pihak lain dan mereka mengambil jalan mudah dengan mengatakan komputer tersebut sebagai lupus kira," jelasnya.

Bagaimanapun Hasnul Hasnul berharap agar pengadu dapat menghubungi pihaknya supaya punca sebenar masalah tersebut dapat dicari dan diselesaikan dengan segera.

"Kita perlukan masa untuk meneliti semula dakwaan dan kerosakan pada komputer tersebut," jelasnya.

No comments: