11 March 2008

Internet memulakan era demokrasi digital

KUALA LUMPUR 10 Mac – Penggunaan Internet secara meluas dan memainkan peranan penting dalam kempen pilihan raya umum 2008, menandakan bermulanya era demokrasi digital di negara ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berkata, bagaimanapun, Internet diabaikan oleh ahli politik sebaliknya ia menjadi alat penting oleh pengkritik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mempengaruhi pandangan umum.

Katanya, medium itu menjadi penting akibat keruntuhan kredibiliti media cetak dan elektronik tradisional.

“Keadaan itu membuatkan kita semua menerima medium digital sebagai media alternatif sebagai saluran meluahkan pandangan.

“Ia juga penting kerana menandakan kemasukan pengundi muda yang jumlahnya begitu besar sehingga membuahkan keputusan pilihan raya yang mengejutkan ini,” katanya ketika mempengerusikan Forum Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Mengenai Keputusan Pilihan Raya Umum 2008: Kesan dan Implikasinya Terhadap Malaysia di sini hari ini.

Musa berkata, golongan pengundi baru itu yang rata-ratanya terpelajar dan memahami konsep kebebasan demokrasi merupakan mereka yang bebas dalam pemikiran.

Katanya, daripada segi sejarah, kerajaan berjaya mengubah kaum Melayu, Cina dan India daripada terkongkong dalam tradisi masing-masing kepada golongan yang terpelajar dan terbuka.

“Mereka mula mengemukakan tuntutan-tuntutan dan berharap ia dipenuhi. Sejak 2004, mereka menjangka keadaan akan berubah.

“Mereka mahu lebih kebebasan, mereka inilah golongan yang tidak gembira, marah dan Internet menjadi saluran mereka meluahkannya,” kata beliau.

Musa berkata, pemimpin politik tidak mampu mengawal demokrasi digital yang berkembang pesat dan itulah punca masalah mereka.

“Cuba bayangkan, dalam satu kawasan pilihan raya, ada tiga blog yang pro kerajaan tetapi wujud 17 blog yang anti kerajaan,” katanya.

Menjawab soalan kemudiannya, Musa berkata, beliau mengalu-alukan kehadiran Internet dalam arena politik negara kerana ia memberi kebebasan bersuara.

Selain itu, katanya, beliau percaya khalayak mampu membezakan antara maklumat palsu, khabar angin dan hiburan yang disiarkan melalui Internet.

Katanya, membandingkan media arus perdana dahulu dan kini, ada perbezaan ketara daripada segi penyiaran bahan-bahan membabitkan parti pembangkang.

“Sekarang kalau kita lihat sudah ada ruang untuk pembangkang membuat kenyataan. Ini adalah satu perkembangan yang positif,” katanya.

No comments: