12 September 2008

PM Lancar Kempen ICT Sebagai Kerjaya Pilihan

PUTRAJAYA 11 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melancarkan kempen Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Sebagai Kerjaya Pilihan yang dilihat satu lagi inisiatif kerajaan di bawah Koridor Raya Multimedia Malaysia (MSC) Malaysia bagi menggalakkan rakyat merebut peluang yang ditawarkan dalam sektor ICT di negara ini.

Kempen itu melibatkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran, Kementerian Sumber Manusia dan Perbadanan Pembangunan Multimedia Sdn. Bhd. (MDEC).

Melalui kempen tersebut, pelbagai program akan dilaksanakan antaranya Inisiatif Pembangunan Pekerja Berilmu MSC Malaysia (KDI) dan Kerjasama Akademia bagi membolehkan Malaysia mampu menyediakan tenaga mahir bagi memenuhi permintaan industri ICT.

Pelancaran tersebut bersempena Mesyuarat Majlis Pelaksana MSC Malaysia Ke-20 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri di sini hari ini.

Abdullah dalam ucapan pembukaan mesyuarat tersebut mahu jenama-jenama global sebenar muncul di kalangan syarikat-syarikat yang dibangunkan di bawah Koridor Raya Multimedia Malaysia (Malaysia MSC).

Beliau berkata, negara ini memerlukan ikon-ikon teknologi ICT global bagi membolehkan usahawan-usahawan yang baru dan pelajar meneladaninya.

‘‘Ketika kita perlu bangga dengan kejayaan MSC Malaysia, banyak lagi perkara yang perlu dilaksanakan termasuk membantu usahawan-usahawan ICT tempatan menyahut cabaran melebarkan operasi mereka ke luar negara dan bersaing dengan syarikat-syarikat global.

‘‘Saya berminat untuk berbincang tentang cadangan pembentukan syarikat ICT tempatan yang dibentang oleh MDEC hari ini,” kata.

Mesyuarat tersebut antara lainnya membincangkan agenda mewujudkan MSC Malaysia 2.0 yang menyentuh peranan MDEC bagi membantu meningkatkan daya saing Malaysia selain membangunkan industri ICT di negara ini.

Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beberapa menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Datuk Badlisham Ghazali.

Menurut Perdana Menteri, MSC Malaysia telah menunjukkan perkembangan yang menggalakkan apabila ia berjaya menempatkan sejumlah 2,170 buah syarikat bertaraf MSC Malaysia iaitu peningkatan sebanyak 19 peratus dari 2006 dengan sebanyak 79,000 pekerjaan berjaya diwujudkan.

Beliau menyatakan, MSC Malaysia akan terus menyaksikan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang meningkat 20 peratus antara 2006 dan 2007.

Tambahnya, perolehan syarikat bertaraf MSC Malaysia pada tahun lalu dicatatkan kira-kira RM17 bilion dengan peningkatan lebih 30 peratus berbanding pada 2006.

“Jumlah eksport pada 2007 dicatatkan melebihi RM5.5 bilion dan sukacita saya nyatakan syarikat Malaysia telah menyumbang kira-kira RM1.4 bilion kepada angka eksport berkenaan.

‘‘Ini menunjukkan syarikat tempatan MSC Malaysia sedang bersaing dan menerima urus niaga di dalam pasaran global.

‘‘Kita sepatutnya berbangga dengan kejayaan MSC Malaysia sehingga sekarang ini dan lebih banyak boleh dan perlu dilakukan,” katanya.

1 comment:

singAsong said...

Selamat sejahtera Alam,

Apa khabar? suka ur blog...

Selamat berpuasa..