20 June 2008

Diskaun AirAsia untuk sektor awam

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Lebih sejuta kakitangan kerajaan menikmati diskaun tambang 20 hingga 30 peratus ke mana-mana destinasi dalam negara atau serantau melalui syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia.

Bukan setakat itu, Pengerusi AirAsia, Datuk Aziz Bakar berkata, mereka juga akan diberi layanan lima bintang apabila mendapat keutamaan untuk berlepas, hidangan makanan serta pendaftaran sebuah bagasi percuma.

Aziz menambah, semua keistimewaan itu adalah khusus untuk kakitangan awam yang mendaftar menerusi Waran Perjalanan Udara Awam (WPUA) dan tawaran itu sudah pun bermula baru-baru ini.

Bagaimanapun, ia hanya sah bagi urusan tugasan rasmi sahaja yang menggunakan pembayaran waran perjalanan kerajaan.

"Tujuan kita ialah menggalakkan lebih ramai kakitangan kerajaan memilih AirAsia sebagai syarikat penerbangan pilihan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara AirAsia dan Persatuan Syarikat Pengembaraan dan Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra Malaysia) di sini semalam.

1 comment:

MOLY said...

bertuah sape keje gomen ..