06 March 2007

Putrajaya Paling Panas di Malaysia

UTUSAN MALAYSIA

BALIK PULAU 5 Mac – Putrajaya kawasan paling panas di Malaysia?. Kenyataan itu mungkin boleh dipersoalkan tetapi dinyatakan sendiri Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid yang menurutnya pembangunan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu yang tidak mesra alam.

Menurut Azmi, pokok-pokok yang terdapat di Putrajaya hanya penghias landskap tetapi tidak meredupkan kawasan itu.

‘‘Landskap sedia ada tidak dirancang untuk menyejukkan kawasan tersebut, sekadar mencantikkan sahaja,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Taman Negara Pulau Pinang di sini hari ini.

Bimbang

Terdahulu, Azmi menyatakan kebimbangannya mengenai pencemaran yang disifatkan sebagai ‘hebat’ berlaku di kawasan perairan Pantai Kerachut yang merupakan salah sebuah tempat pendaratan penyu untuk bertelur terutamanya Penyu Agar.

Jelas Azmi, jika dilihat menggunakan satelit, Putrajaya merupakan paling panas di negara ini diikuti Kuala Lumpur yang tergolong dalam kategori hot urban island.

Di Pulau Pinang pula, katanya, kawasan perindustrian Bayan Lepas dikenal pasti tergolong dalam kategori kawasan yang sama.

Ujar Azmi, beliau membangkitkan isu kepanasan di Putrajaya pada mesyuarat Kabinet bulan lalu dan pihaknya juga sudah mengadakan beberapa perbincangan tidak rasmi dengan Putrajaya Holdings bagi mengatasi masalah tersebut.

Menurut beliau, walaupun pihak pemaju berjaya mencantikkan kawasan sekitar Putrajaya namun tidak ada individu sanggup berada di rumah atau berjalan-jalan di kawasan sekitarnya.

1 comment:

Anonymous said...

setuju sangat

sekarang ni kita tanam pokok sambil lewa dan untuk hiasan, patutnya kita tanam untuk redup dan senang nak berjalan kaki.

contoh terbaik ialah taman tasik taiping. pokoknya berusia 100tahun tapi masih teguh