Dari Berita Harian
PUTRAJAYA: Semua majlis perbandaran dan daerah di seluruh negara akan dikategorikan mengikut sistem bintang bagi memantau tahap prestasi serta kecekapan pihak berkuasa tempatan (PBT). Menerusi sistem penggredan dua tahun sekali itu, PBT yang menunjukkan prestasi tinggi akan dijadikan penanda aras, manakala kepemimpinannya yang terbukti baik akan mendapat pengiktirafan kerajaan. PBT yang didapati kurang kemampuan dan berprestasi rendah pula akan diberi perhatian pihak berkuasa peringkat negeri dan Pusat supaya usaha menambah baik pencapaiannya dapat dilakukan segera
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata sistem itu akan dilaksanakan secara berperingkat mulai suku kedua tahun depan. “Mereka kena lakukan penambahbaikan dan kita akan hantar pasukan untuk mengkaji apakah punca kelemahan pentadbiran PBT berkenaan. “Ini sejajar hasrat kerajaan menambah kecekapan PBT kerana ia adalah peringkat ketiga dalam sistem pentadbiran negara,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) di sini, semalam. Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting.
Najib berkata, sebuah panel yang turut dianggotai profesional bebas, akan menilai prestasi PBT masing-masing berdasarkan pencapaian dalam bidang perkhidmatan, terutama kemampuan melaksanakan undang-undang dan dasar kerajaan yang mencakupi 25 peratus daripada markah keseluruhan. Kepemimpinan pula diberi markah 20 peratus, manakala pembangunan sumber manusia (20 peratus), urusan kewangan (10 peratus), perkhidmatan komuniti (10 peratus), khidmat pelanggan (10 peratus), program teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan laman web (lima peratus). “Sistem ini akan dinilai secara objektif dan diharap melalui sistem penggredan ini kita akan mendapat satu cara dan kaedah di mana sistem penanda aras prestasi dapat diperkenalkan,” katanya.
Najib berkata, mesyuarat juga bersetuju meningkatkan pengeluaran lesen perniagaan dan lesen komposit hotel yang membolehkan perniagaan dilakukan serta-merta. Menerusi sistem itu, pemohon diberi masa dua bulan untuk mematuhi peraturan penyiapan premis bagi perniagaan yang tidak berisiko atau dikenakan tindakan jika gagal mematuhinya. “Tempoh sah laku lesen perniagaan juga dipanjangkan sehingga tiga tahun. Majlis turut bersetuju melonggarkan syarat bomba kepada hotel bajet bagi menyokong perniagaan itu serta sektor pelancongan yang semakin penting kepada negara,” katanya.
No comments:
Post a Comment