26 April 2009

Imigresen Berwaspada Berhubung Wabak Selesema Babi Di Mexico

26 April, 2009 15:31 PM

Imigresen Berwaspada Berhubung Wabak Selesema Babi Di Mexico

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Jabatan Imigresen sudah mengambil langkah berjaga-jaga berikutan wabak selesema babi di Mexico dan kini sedia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi mengawal penyakit itu daripada merebak ke Malaysia, kata Ketua Pengarahnya Datuk Mahmood Adam hari ini.

"Kami menunggu arahan Kementerian Kesihatan menjelang esok dan kami akan memberikan kerjasama penuh di semua pintu masuk, katanya kepada Bernama.

Katanya jabatan itu mempunyai pengalaman sebelum ini dan telah memberikan perkhidmatan yang berkesan semasa penularan selesema burung Asia.

Setakat ini, wabak baru selesema babi di Mexico telah meragut 62 nyawa dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata sesetengah kematian itu disahkan disebabkan oleh virus H1N1 yang tidak pernah dikesan sebelum ini yang menggabungkan genetik babi, burung dan manusia.

Laporan terbaru agensi berita asing menyebut bahawa selesema babi itu telah menular ke Amerika Syarikat dan WHO bimbang ia mungkin merebak ke seluruh dunia.

Tanda-tanda selesema babit adalah menyamai dengan selesema biasa dengan demam, batuk, hidung berair dan lenguh anggota badan.

Selesema terbaru itu dikatakan lebih mudarat berbanding sebelum ini kerana ia menggabungkan virus burung, manusia dan babi.

Para pakar berkata setakat ini tidak terdapat vaksin bagi selesema terbaru itu. Bagaimanapun, mereka menasihatkan bahawa langkah terbaik adalah memastikan tangan sentiasa dibersihkan bagi mengelak jangkitan.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak panik dengan berkata bahawa kerajaan akan mengambil langkah perlu bagi menyekat penyakit itu daripada merebak di Malaysia.

Beliau berkata kementerian akan memaklumkan orang ramai dari semasa ke semasa berhubung sebarang perkembangan.

-- BERNAMA

No comments: