21 January 2008

Petikan Akhbar

Jawatankuasa Kabinet Basmi Kemiskinan Tegar Ditubuh

Oleh ROSNI HASSAN

KUALA LUMPUR 20 Jan. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Kabinet bagi membasmi kemiskinan tegar di kalangan semua kaum di negara ini.

Perdana Menteri berkata, penubuhan jawatankuasa itu selaras dengan sasaran kerajaan untuk menghapuskan kemiskinan tegar menjelang 2010.

Menurut beliau, masalah kemiskinan masih wujud di negara ini dan ia tidak terhad kepada satu-satu kaum, sebaliknya turut membabitkan semua kaum.

Abdullah menegaskan, dalam usaha membela nasib golongan miskin, kerajaan akan memastikan tidak ada mana-mana kaum yang tertinggal.

‘‘Itu janji saya. BN (Barisan Nasional) akan berusaha bersungguh-sungguh menghapuskan kemiskinan tegar yang dihadapi semua kaum.

‘‘Orang miskin mesti dibela. Saya bimbang jika mereka tidak dibela anak-anak masing-masing tidak dapat belajar dengan sempurna,’’ kata Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Stadium Badminton Cheras di sini.

Kira-kira 21,000 ahli dan penyokong MIC yang menghadiri perhimpunan itu memberikan tepukan gemuruh ketika Perdana Menteri memasuki stadium bersama isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah.

Mereka turut melaungkan ‘Hidup Pak Lah’, ‘Hidup UMNO’, ‘Hidup MIC’, ‘Hidup Barisan Nasional’ sambil membawa sepanduk-sepanduk tanda sokongan kepada kerajaan BN.

Abdullah berkata, kerajaan berjaya mengurangkan kadar kemiskinan daripada 60 peratus suatu masa dulu kepada 5.7 peratus pada 2004.

‘‘Usaha untuk membasmi kemiskinan perlu diteruskan kerana ia melibatkan nasib dan masa depan rakyat. Atas asas itu kerajaan bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya,’’ kata beliau.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, oleh kerana Malaysia masih lagi membangun dan belum mencapai tahap negara maju, banyak kerja perlu dilakukan.

‘‘Kita banyak lagi kerja, kawasan luar bandar perlu dibangunkan, kawasan bandar pula perlu dimajukan lagi. Golongan miskin perlu kita jaga dan basmi kemiskinan tanpa mengira kaum,’’ katanya.

Sementara itu, Abdullah berkata, MIC merupakan rakan lama kepada UMNO dan merupakan parti yang turut bersama MCA berjuang menuntut kemerdekaan.

‘‘Parti ini jugalah yang bersama-sama UMNO dan MCA membentuk Perikatan dan BN. Saya cukup menghargai persahabatan yang telah lama terjalin ini.

‘‘Selama bertahun-tahun kita menghadapi masalah dan cabaran bersama dan kita bersetuju untuk berpegang kuat kepada permuafakatan bersama ini,’’ kata beliau.

Abdullah berkata, atas asas itu juga pilihan raya umum akan datang bakal menyaksikan kerjasama dan permuafakatan yang jitu antara parti komponen BN termasuk MIC.

Tambahnya, Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu sentiasa berjuang untuk masyarakat India dengan menimbulkan pelbagai isu membabitkan kepentingan masyarakat India dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Mengenai majlis yang diadakan itu, Perdana Menteri berkata, beliau gembira dengan kehadiran begitu ramai ahli dan penyokong MIC.
“Inilah kali pertama saya berada dalam perhimpunan MIC yang paling besar.

‘‘Kita rasa senang... bila ada apa-apa perayaan, kita sama-sama sambut. Saya tengok di luar (stadium) beribu-ribu, di dalam sini pun ramai. Saya senang dengan sokongan ramai ini,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil serta pemimpin parti-parti komponen BN di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

1 comment:

Aladdin a.k.a. Gustiadipati said...

Petanda Pilihanraya dah nak dkt...janji2 kerajaan nak bela rakyat...semoga tertunai