09 July 2008

Kuota baru biasiswa JPA cetus tak puas hati

Kuota baru biasiswa JPA cetus tak puas hati

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM

KUALA LUMPUR 8 Julai – Langkah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memperuntukkan kuota biasiswa bumiputera kepada pelajar bukan bumiputera boleh membantutkan usaha membangunkan masyarakat bumiputera dan memperluaskan lagi jurang ekonomi antara kaum di negara ini.

Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Abdul Rahman Arshad berkata, tindakan itu jika tidak ditangani dengan sewajarnya akan mendorong perasaan tidak puas hati kaum bumiputera.

“Dengan berkurangnya bilangan pelajar bumiputera yang memperoleh biasiswa JPA, maka semakin luas perbezaan bilangan ahli profesional bumiputera dan bukan bumiputera,” katanya.

Mengulas kenyataan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) di Dewan Rakyat semalam yang mempersoalkan tindakan JPA mengambil kuota biasiswa pelajar bumiputera untuk diberikan kepada pelajar bukan bumiputera, Abdul Rahman berkata: “Pemberian biasiswa mestilah berasaskan komposisi kaum di negara ini.”

Setiap tahun JPA menawarkan 2,000 biasiswa. Dahulu 90 peratus daripada biasiswa itu diberi kepada pelajar bumiputera, tetapi nisbah itu di bawah skim baru biasiswa JPA yang masih mengekalkan jumlah biasiswa sedia ada kini diturunkan kepada 50 peratus bumiputera, 45 peratus bukan bumiputera dan lima peratus kaum-kaum lain.

Menurut Khairy, nisbah pemberian biasiswa kerajaan untuk pelajar-pelajar bumiputera dan bukan bumiputera adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan Seri Paduka mempunyai budi bicara untuk menentukan nisbahnya.

Abdul Rahman yang merupakan bekas Ketua Pengarah Pelajaran turut mempersoalkan asas perkiraan JPA sewaktu meningkatkan nisbah biasiswa untuk pelajar bukan bumiputera daripada 10 peratus kepada 45 peratus.

“Jika komposisi penduduk bumiputera di Malaysia 67 peratus, maka jumlah golongan profesionalnya mestilah 67 peratus juga. Selagi ia tidak tercapai, mereka mestilah dibantu,” tegasnya.

Katanya, pelajar bukan bumiputera yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan tidak sepatutnya mempersoalkan kenapa mereka tidak mendapat biasiswa JPA.

“Kuota biasiswa itu adalah terhad dan pelajar bukan bumiputera perlu bersaing sesama sendiri untuk merebut kuota yang terhad berasaskan komposisi kaum masing-masing,” ujar Abdul Rahman.

2 comments:

shahril aley said...

isu panas yang semakin hangat
mungkin malesia jadi singapura
melayu terus kebelakang
oh tidakkk.....

Alam Setia said...

Insyallah, kita kena kuatkan semangat orang melayu semula