20 June 2008

Suntikan tambahan RM100 juta tingkat pengangkutan awam

Oleh HELMI MOHD. FOAD

PUTRAJAYA 19 Jun – Kerajaan memberikan suntikan tambahan sebanyak RM100 juta ke dalam Tabung Pembangunan Pengangkutan Awam sekali gus menjadikan dana keseluruhannya kini berjumlah RM300 juta.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata, dana tambahan itu akan digunakan bagi memberi pinjaman mudah kepada pemilik teksi individu untuk membeli teksi dengan kadar faedah antara empat hingga enam peratus.

Menurutnya, langkah itu sejajar dengan cadangan kementerian untuk membenarkan semula pemberian permit teksi individu yang keputusannya akan ditentukan oleh Kabinet pada mesyuaratnya minggu depan.

‘‘Langkah pemberian semula permit teksi individu sebelum ini telah diputuskan oleh Jawatankuasa Kabinet mengenai pengangkutan awam yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Jadi kalau dah lulus nanti, para pemegang permit teksi individu yang sedia ada boleh terus menyambung (permit),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian surat tawaran kelulusan (STK) kepada lebih 100 pengusaha kenderaan perdagangan di kementeriannya di sini hari ini.

Permohonan permit teksi syarikat dan individu telah dibekukan sejak 10 September 2004 dan hanya permohonan dari koperasi diluluskan.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Markiman Kobiran.


Menurut Noh, penambahan permit teksi individu tersebut adalah bagi meningkatkan keberkesanan sistem pengangkutan awam memandangkan jumlah teksi yang sedia ada tidak mencukupi.

Beliau menjelaskan, Lembah Klang memerlukan 3,000 buah teksi lagi bagi menambah bilangan sedia ada sebanyak 21,000 buah iaitu dengan nisbah sebuah teksi bagi 500 orang penumpang.

“Tetapi setakat ini sudah ada 10,000 borang permohonan telah dibeli meskipun Kabinet belum membuat keputusan,” katanya.

No comments: