Oleh AZMAN IBRAHIM dan NAZRUL AZIM SHARUDDIN
Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 11 Mei – Rakyat Malaysia dinasihatkan mengamalkan makan hanya segenggam nasi atau separuh pinggan setiap kali mengambil makanan itu demi menjaga kesihatan selain mengurangkan penggunaan beras.
Jumlah pengambilan nasi yang ideal untuk seorang dewasa adalah pada kadar segenggam atau 20 peratus daripada mangkuk sukatan nasi yang biasa digunakan di restoran-restoran.
Penasihat pemakanan terkenal, Kevin Zahri berkata, langkah itu perlu memandangkan pengambilan nasi tidak boleh diberhentikan serta-merta sebaliknya ia menjadi makanan ruji pelbagai kaum di negara ini.
Katanya, pengurangan pengambilan nasi setiap hari oleh setiap rakyat sekurang-kurangnya dapat mengatasi masalah kekurangan beras di negara ini.
“Jika makan di kedai atau restoran, orang ramai perlu melatih diri dengan memesan nasi separuh pinggan. Oleh itu, para peniaga juga perlu mengenakan separuh harga.
“Ada sesetengah restoran didapati mengambil kesempatan dengan mengenakan harga penuh walaupun pelanggan mereka hanya memesan nasi separuh pinggan. Mereka memberi alasan harga beras sudah naik,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ketika ditanya mengenai golongan yang bekerja kuat seperti buruh binaan, Kevin menasihatkan supaya golongan itu mengekalkan makan nasi pada kadar sederhana dan mengambilnya pada kadar yang lebih kerap.
Jelasnya, ini kerana golongan tersebut memerlukan tenaga yang lebih tinggi dan ia perlu ditampung melalui kekerapan pengambilannya.
Kevin turut menggalakkan golongan itu mengambil makanan dari sumber lain seperti buah-buahan, roti, air yang bergula dan sebagainya bagi meningkatkan tenaga.
Antara lain, beliau mendapati usaha mengurangkan jumlah nasi dalam setiap hidangan seperti itu dapat menggalakkan orang ramai meminimumkan pengambilan nasi dan seterusnya mengelakkan pembaziran.
“Jika pengambilannya dihentikan serta-merta, ia akan memberi satu kesan psikologi kepada seseorang akibat kekurangan sumber tenaga yang berpunca karbohidrat walaupun ia boleh diperoleh dari roti,” jelasnya.
Menurut Kevin lagi, beliau tidak menafikan bahawa nasi boleh digantikan dengan makanan alternatif yang lain seperti roti, pasta, kentang dan buah-buahan.
Namun, katanya, kalori yang dibekalkan oleh nasi dapat memberi lebih vitamin dan zat dalam membantu mengekalkan kesihatan.
Beliau yang juga penulis buku Cergas 24/7 memberitahu, pengambilan makanan alternatif yang mempunyai kandungan fiber yang tinggi digalakkan tetapi bukan memberhentikan terus pengambilan nasi kerana ia akan menyekat kadar metabolisme badan.
Jelasnya, selain menjimatkan kos dan mengurangkan pembaziran, pengambilan nasi yang sedikit juga secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko penyakit seperti obesiti, osteoporosis dan juga barah.
“Apa yang paling penting ialah setiap orang perlu mengamalkan gaya hidup yang seimbang dengan memilih makanan yang sihat dan berkualiti supaya kita dapat menikmati makanan kegemaran kita sepanjang hayat,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment