KUALA LUMPUR: Perkhidmatan percuma yang mudah dilayari serta interaktif antara faktor tarikan media alternatif, blog menjadi pilihan ramai, terutama golongan muda, sehingga wujudnya 108 juta laman blog hingga Februari lalu.
Malah, medium bebas yang memaparkan pelbagai bentuk maklumat itu tidak terhad di dalam negara, tetapi juga antarabangsa dengan mencatatkan kewujudan 120,000 blog baru setiap hari atau 1.4 blog sesaat.
Penulis blog, Yasser Arafat Ishak atau lebih dikenali dengan nama pena Jiwarasa, berkata blog yang kini menjadi sumber maklumat alternatif bukan sekadar catatan, diari dalam talian atau laporan semata-mata, tetapi turut memaparkan keluh-kesah, artikel atau komen seseorang.
Katanya, kepentingan blog semakin ketara hari ini kerana ia memiliki rangkaian luas, cepat dan boleh dilayari ramai pengguna pada satu-satu masa.
“Berdasarkan statistik pengguna Internet di negara ini, pada 2000, ada 3.7 juta pengguna daripada 24.6 juta atau 15 peratus dan ia naik mendadak tahun lalu apabila 13.5 juta melayarinya daripada 28.2 juta penduduk.
“Begitu juga penulis blog yang semakin meningkat saban hari dan buktinya dengan kewujudan pelbagai jenis blog, antaranya dalam undang-undang, agama, pendidikan, politik dan bisnes,” katanya ketika menjadi ahli panel diskusi, Penulis dan Blog: Trend Masa Kini, di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, semalam.
Selain Jiwarasa, seorang lagi penulis blog, Nisah Haron dipilih menjadi ahli panel dalam program pertama kali anjuran DBP itu yang dipengerusikan Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Shamsudin Othman.
Menurut Jiwarasa, blog yang boleh diibaratkan seperti kanvas putih dan diwarnakan mengikut acuan juga berdepan cabaran daripada penulisnya, sama ada menulis perkara baik atau sebaliknya.
Sementara itu, Nisah berkata, blog yang menjadi sumber golongan muda selain media cetak dan elektronik kini memberi impak atau kesan kepada masyarakat dan negara.
“Antara contoh, dalam pilihan raya baru-baru ini, blog antara medium yang menjadi perhatian selain media arus perdana.
“Ia kini bukan sekadar catatan penganggur atau wanita yang tidak bekerja, tetapi lebih daripada itu,” katanya.
Nisah turut meminta penulis blog yang ada atau baru wujud menggunakan Bahasa Melayu dalam blog mereka supaya bahasa ibunda itu diangkat dan diletakkan di tempat sewajarnya sepertimana Bahasa Inggeris yang menjadi pengantar utama.
Sementara itu, Timbalan Presiden komuniti blog Geng Jurnal yang memiliki 3,400 ahli, Zaifulnizam Wakiran, berkata maklumat yang terkandung di dalam blog mampu mempengaruhi pembaca jika penulisan itu tidak diberi pertimbangan sewajarnya.
“Hari ini medium blog semakin mendapat perhatian seperti mana dalam pilihan raya lalu apabila ia menjadi senjata pembangkang untuk provokasi,” katanya.
No comments:
Post a Comment